Pengikut

Khamis, 4 November 2010

Atap rumbia


Bab 1

            Kini kandunganku sudah mencecah usia 8 bulan. Perutku kini semakin membesar. Sungguh berat untuk aku bawanya ke sana dan ke mari. Namun, aku gagahi jua untuk mencari rezeki untuk mendapatkan sesuap nasi. Sudah sebulan aku hanya ditemankan perut bulat yang semakin membesar. Aku terpaksa hidup berdikari setelah pemergian insan yang aku sayang. Aku cuba kuatkan semangat untuk terus hidup. Aku cuba untuk menjadi seorang wanita yang tabah. Walaupun Nasir sudah tiada. Aku masih merasakan dirinya sentiasa disamping aku.
            Sentuhan manja Nasir membelai tubuhku sangat dirindui. Namun, aku terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi. Aku percaya bahawa Allah lebih menyayanginya. Aku menjalani kehidupan sebagai seorang janda di usia muda. Suamiku telah pergi selamanya sewaktu kandungan aku berusia enam bulan. Walaupun aku redha dengan pemergiannya, namun aku masih menganggapnya sentiasa bersama aku. Banyak kenangan indah yang kami lakarkan bersama. Pada dahulunya aku tidak pandai membuat sebarang kerja di dapur, kini sudah aku pelajari semuanya dari Nasir. Walaupun aku dinikahi oleh Nasir bukan dasar cinta namun aku berasa bahagia sekali menjadi isterinya. Walaupun dalam tempoh yang singkat.
            Setelah pemergian Nasir, aku dihalau oleh keluarganya. Aku dikatakan perempuan pembawa sial. Ibu Nasir amat benci kepada aku. Katanya, akulah punca kematian anak lelaki tunggalnya itu. Kenapa aku? Tahukah kau aku juga turut terseksa! Aku masih dahagakan belaian kasih sayang seorang suami. Aku juga mahukan anak aku ini lahir berayah! Apa dosa aku? Dosakah aku? Kenapa aku sangat dibenci oleh keluarga Nasir? Ini semua sudah ketentuan tuhan dan bukannya pinta dari aku. Aku juga menyayangi dan mencintai Nasir. Susahkah itu fahami hati perasaan aku? Jika aku terlalu mengikut perasaan mungkin sekarang aku sudah menjejaki pemergian Nasir. Tidak tertampung beban yang melanda aku.
            “Mulai hari ni, kau tiada hak lagi di dalam rumah ini. Kau boleh berambus! Bawa segala barang kau itu. Jangan kau tinggalkan apa-apa pun walaupun secebis pakaian kotormu! Dasar perempuan perampas anak aku! Perempuan tak guna! Pergi kau!” garang sungguh ibu mertua menghalau aku. Aku tidak tahu hendak ke mana. Dalam keadaan aku berbadan dua, aku berasa tertekan. Kenapa Nasir tinggalkan aku seorang diri? Mana janjinya kepada aku untuk besarkan anak kami bersama? Dimana janjimu Nasir? Kau membuat aku menjadi seorang yang hampir gila. Aku terpaksa mengimbangkan emosiku disebabkan anak kita ini, Nasir.
            Kini hari yang dinantikan sudah hampir tiba. Aku semakin berdebar-debar kerana inilah pengalaman aku yang pertama. Pengalaman untuk menjadi seorang ibu. Mak cik Zubaidah amat baik orangnya. Setelah aku dihalau keluar dari rumah abang Nasir, mak cik Zubaidah yang menjaga makan dan pakai aku. Setiap pergerakan aku diawasi olehnya. Aku berasa diri aku ini dijaga seperti budak kecil. Sememangnya aku merindui arwah ibuku dan pengubatnya adalah mak cik Zubaidah. Dia merupakan seorang janda yang tinggal di hujung kampung. Anak-anaknya telah menetap di bandar. Jadi tinggallah dia keseorangan.
Walaupun makan dan pakai aku dijaga olehnya, namun aku bersa tidak selesa. Aku berkerja di ladang labu milik tauke Tan. Aku akan diberi gaji pada hujung minggu. Gaji yang aku terima tidaklah sebanyak seperti gaji pekerja yang lain. Namun, aku bersyukur kerana wang yang aku peroleh itu cukup untuk membeli sedikit barang keperluan bagi menyambut zuriat aku ni nanti. Biasanya aku akan membeli barang-barang keperluan dapur. Walaupun perbuatan aku itu dilarang oleh mak cik Zubaidah namun aku tetap ingkar kerana aku tidak mahu seperti parasit yang hanya tahu menumpang dan menyusahkan orang lain.
Pada malam Jumaat, aku sudah berasa tidak selesa. Perut bulatku ini asyik membuat ragam. Anak di dalam kandungan aku ini ligat menunjang-nunjang di dinding rahimku. Adakalnya dia menyepi.  Hal ini menyebabkan aku bermandi peluh menahan sakit. Jika mengikut waktu yang diberikan oleh doktor, tarikh aku bersalin adalah dua minggu lagi. Aku mengadu kepada mak cik Zubaidah. Dia kelihatan tidak duduk diam seperti cacing kepanasan lagaknya. Dipanggilnya bidan kampung. Air panas sudah siap disediakan. Setelah bidan Senah memeriksa kandunganku, dia menyuruh mak cik Zubaidah segera menghantar aku ke hospital. Katanya anak di dalam rahimku ini tidak boleh lahir secara normal kerana sudah terbelit tali pusat dan anak di dalam kandungan aku sudah lemah. Masa itu hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan aku. Betapa terkejut dan sayunya hati aku ini. Aku mengalirkan air mata. Air mata kesakitan bercampur dengan kesedihan. Pada masa itu, aku berdoa agar anak di dalam kandungan aku ini selamat melihat dunia. Inilah satu-satunya harta yang Nasir tinggalkan untuk aku. Berilah aku peluang untuk melihat zuriat kami ini, Ya Allah. Aku merintih sendirian.
Langit malam menyelimuti tubuhku. Bintang kejora bersinar menerangi malamku. Aku bersyukur kepada ilahi. Setelah bertarung nyawa hampir tiga jam di dalam wad bersalin, akhirnya bayiku dilahirkan. Lega hatiku. Walaupun tidak dapat melahirkannya secara normal namun aku masih tetap bersyukur kerana Allah memberi aku peluang untuk membesarkan zuriat Nasir. Zuriat kami berdua. Setelah penat bertarung nyawa untuk melahirkan bayi lelaki yang sihat itu, aku tidak sedar yang aku telah tertidur. Sewaktu tidurku itu Nasir datang dalam mimpiku. Dia mengucup keningku. Tanganku dipegang erat. Rambutku diusap manja. Aku seperti patung batu yang tidak boleh berbuat apa-apa. Badanku keras membatu. Aku hanya dapat menikmati belaiannya. Ingin sahaja aku memeluk tubuh sasa yang aku rindui itu.
“Abang anak kita anak lelaki. Dia comel dan sihat. Mukanya sama seperti abang.” Hanya itu yang mampu aku lafazkan. Air mata aku tidak tertahan untuk mengalir. Aku menutup kelopak mataku untuk menahan air mata dari terus keluar. Nasir mengelapkan air mata yang jatuh dipipi. “Ya, abang tahu. Abang harap sayang ingat pesan abang. Namakan anak kita Syahrezal.” Kata-katanya diulang-ulang. Aku cuba membuka mata. Namun setelah aku terjaga, Nasir tiada di situ. Aku menangis sepuas hati. Kenapa dia pergi dan meninggalkan aku sebegini? Tahukah dia betapa sukarnya untuk aku meneruskan hidup tanapnya? Aku sudah seperti telinga rabit pasang subang di kaki. Aku dijadikan bahan ketawa dan ejekan masyarakat. Tanpa Nasir disisi aku dikatakan perempuan sial. Ya Allah, hebat sungguh dugaanmu.
“Nasib baik kau tak bentan, nak. Usahlah dihiraukan kata orang. Apa yang penting sekarang kau dan anak kau selamat. Mak dah tak hirau kata orang. Bukan kau buat anak haram! Kau telah bernikah secara sah dengan si arwah Nasir dahulu. Cuma jodoh kamu berdua sahaj tidak panjang. Sudah! Jangan menangis sahaja kerja kau. Pergi susukan anak aku itu. Kasihan, mak melihatnya.” Mak cik Zubaidah memberi kekuatan kepada aku. Aku akan menjadi seorang yang tabah untuk membesarkan anak aku ini. Anak aku dan abang Nasir.
“Puan hendak namakan anak puan ini siapa?” soal orang di kaunter itu pendaftaran itu. Aku menjawab dengan yakin. “Syahrezal bin Ahmad Nasir.” Aku menarik nafas lega setelah nama itu terlepas dari mulutku. Walaupun masih berpantang aku perlu menjadikan diri aku ni kuat seperti orang lain. Aku berpegang teguh pada peribahasa ini umpama tanduk di kepala tidak dapat digelengkan yang bermaksud setiap orang ada tanggungjawab atas dirinya sendiri. Aku tidak mahu menyusahkan orang lain. Cukup selama ini aku telah menyusahkan orang ramai.
Namun takdir menentukan aku tidak dapat menjaga Rezal selamanya. Ibu mertuaku selalu datang memujuk untuk menjaga Rezal. Walhal aku tahu agenda di sebalik muslihatnya itu. Kenapa sewaktu perut aku besar membuyut tidak mahu dijaganya? Kini baru sedar kesalahan sendiri. Maafkan aku mak. Aku tidak mahu zuriat aku ini dijadikan mangsa. Biarlah aku menjaganya dengan hasil titik peluhku. Hari demi hari, ibu abang Nasir datang menagih Rezal dari aku. Hal ini menyebabkan aku hidup dalam tertekan. “Woi! Perempuan aku mintak secara elok. Jangan suatu hari nanti kau akan menyesal!” ugut ibu Nasir. Aku menjadi geram. Mahu sahaja aku ganyangkan mulut orang tua itu. Namun, disebabkan dia ibu mertuaku aku tidak mahu melakukan sebarang dosa. Cukuplah sekadar membisukan diri.
Akhirnya aku terpaksa menyerahkan anak kesayangan aku itu pada anak mak cik Zubaidah. Aku serahkan pada kak Mas. Biarlah dia menjaga Rezal. Lagipun dia masih belum mempunyai sebarang zuriat walaupun sudah lima tahun dia berkahwin. Aku membuat tindakan ini untuk melarikan anak aku dari neneknya yang semakin mendesak itu. Aku bukan tidak mahu beri kepada mertua aku itu tapi hati aku sangat kecewa dan hampa apabila terkenang sewaktu aku dihalau seperti anjing kurap keluar dari rumah abang Nasir. Padahal apalah salahku. Pemergian abang Nasir bukanlah kehendakku.
Setelah setahun bergelar ibu tunggal yang kematian suami aku dilamar Fakhrul menjadi isterinya. Fakhrul merupakan seorang anak hartawan yang tinggal di kawasan bandar. Sebelum aku bersetuju menerima lamarannya, aku telah bercerita tentang segalanya mengenai aku. Dia menerima aku seadanya. Aku juga mengemukakan hasrat aku untuk mengambil semula Rezal dari kak Mas. Aku teringin sekali untuk menjaga Rezal. Namun Fakhrul tidak menyukai jika aku ingin membawa Rezal tinggal bersama kami. Cukup sekadar datang menziarahi. Aku berada dalam keadaan serba salah. Aku umpama hendak melangkah, kaki pendek; hendak mencapai, tangan tidak sampai. Usaha aku untuk mendapatkan kembali ternyata sia-sia kerana aku tidak berdaya menegakkan permintaanku itu. Tapi aku masih berasa bersyukur kerana Fahkrul sudi mengizinkan aku untuk berjumpa dengan Rezal.
Setelah sekian lama, aku semakin sibuk membantu Fahkrul memajukan sebuah lagi perniagaan kasutnya. Akhirnya kesibukkan aku memakan diri. Kesibukkan menjadikan aku seorang yang alfa dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Sudah lama aku tidak datang bermain dengan Rezal. Pada petang itu aku meminta izin dari Fakhrul untuk berjumpa Rezal dan membawanya keluar jalan-jalan makan angin. Aku amat kagumi sifat Fakhrul kerana dia merupakan seorang yang profesional. Dia pandai membezakan antara hal keluarga dan perniagaannya. Di pejabat akulah pekerjanya dan di rumah akulah isterinya. “Saya tidak kisah kalau awak mahu pergi membawa Rezal berjalan-jalan. Dia kan anak awak. Awak ada hak. Siapalah saya untuk menghalangnya, betul tak wahai sayangku?” sungguh tenang sekali dia bermain dengan kata-kata. Setelah bersiap-siap aku bersalam dengan Fakhrul meminta keizinannya seperti biasa aku mencium tangannya dan dia akan mencium dahiku.
Hatiku sangat gembira untuk berjumpa dengan Rezal buah hatiku. Anak kecil yang masih tidak tahu apa-apa. Sepanjang perjalanan menuju ke rumah kak Mas aku bernyanyi lagu indah. Lagu indah sewaktu aku hidup bersama Nasir.  Suami dan cintaku yang pertama. Perjalanan pada petang itu aku rasakan terlalu jauh. Perjalanan yang tidak seperti hari-hari yang lalu. Apabila sampai sahaja di muka pintu pagar rumah kak Mas aku dapati rumahnya seperti tiada orang. Sunyi sepi. Hatiku mula berasa risau. Aku cuba menelefon kak Mas namun tidak berjaya. Akhirnya jiran sebelah memberitahu bahawa kak Mas dan suaminya telah membawa Rezal ke luar negara keran abang Madi dapat tawaran bekerja di sana. Hatiku berasa luluh bagai hendak tercabut. Bagaimana untuk aku berjumpa Rezal lagi. Oh, anakku! Sejak itu, aku tidak mendapat sebarang berita mengenai Rezal mahupun kak Mas sekeluarga.





Bab 2

            Masa pantas berlalu meninggalkan hari demi hari sehingga tanpa disedari kedut dikulitku semakin banyak dan tidak setegang dulu. Aku melihat cermin sambil menyikat rambut sendiri. Nama “Rezal” amat klise di hati aku. Nama itu sering terlafaz dari bibir kedutku ini. Rezal merupakan insan yang selama ini sering aku nantikan dan aku rindukan. Bagaimanalah rupanya pada waktu sekarang ini. Hujung rambutku yang tersimpul kusut ku lurut rapi. Pintu daun terkuap luas apabila disapa angin petang. Sapaan mesra angin itu memberi aku peluang untuk mengimbas kembali memori silap.
Lazimnya kehidupan sebagai isteri kepada seorang nelayan sentiasa berada dalam keadaan cemas apabila suaminya pergi ke lautan biru luas terbentang bagi mencari sesuap rezeki untuk keluarga. Perasaan takut itu sentiasa ada dan sering menghantui benak fikiranku ini. Sejak kebelakangan ini cuaca memang agak buruk. Setiap malam hujan pasti akan turun sehingga ke lewat pagi. Ombak putih mula mengganas. Mengganas tanpa menghiraukan mangsanya. Hari semalam sahaja sudah habis perahu Mansur ditelannya dan dibawanya entah kemana. Namun, hal ini tidak menggentarkan semangat suamiku sebagai seorang nelayan.
            Hari demi hari aku lalui bersama Nasir. Dialah pengubat hatiku. Dialah segalanya bagiku. Aku  yang telah kehilangan orang tua tempat bergantung sejak lima tahun dahulu. Nasir telah mengambil aku sebagai isterinya yang sah. Aku dinikahkan dengan Nasir ketika usiaku menjangkau umur 16 tahun. Walaupun kami sudah sah menjadi suami isteri, namun aku masih lagi segan kepada Nasir. Namun, dia amat memahami aku. Aku akui bahawa sewaktu berkahwin dengannya aku masih lagi tidak pandai menjaga makan dan pakainya. Aku masih kebudak-budakkan. Apabila kawan-kawan aku datang ke rumah mengajak untuk bermain di tepi pantai sudah tentu aku akan pergi sertai mereka dengan keizinan suamiku. Kadang-kala Nasir selalu juga menemani aku apabila dia tidak ada sebarang kerja. Sikapnya membuatkan aku senang bersamanya.
            Banyak yang telah aku pelajari darinya seperti memasak, membasuh pakaian di perigi dan memancing ikan di hujung tanjung. Selama ini bukanlah aku langsung tidak ambil tahu untuk membuat semua kerja itu tapi sikap aku yang kebudak-budakkan ini membuatkan aku malas. Sebelum ini pun, mak cik Jenab iaitu ibu saudaraku bukan tidak pernah menegurku malah pernah memperli aku tapi aku buat tidak tahu sahaja. Setelah bergelar seorang isteri aku mula mempelajarinya sedikit demi sedikit dari suamiku. Sebenarnya aku berasa kasihan apabila melihat suamiku pulang dan aku tidak menyediakan sebarang juadah untuknya. Aku amat kagum kerana dia amat sabar dengan kerenahku.
            Kenangan seawal pernikahan kami memang aku tidak dapat lupakan. Pada malam pertama itu, aku memang takut sampai tidak mahu masuk ke bilik. Nasir memujuk aku untuk masuk tidur. Dia menyuruh aku tidur di atas katil dan dia pula tidur beralaskan tikar mengkuang di atas lantai papan. Sememangnya aku mempunyai tabiat buruk iaitu suka berjalan di waktu tidur. Nak dijadikan cerita, pada malam itu tabiat buruk aku itu pun datang. Esok paginya sewaktu bangun pagi aku membuka kelopak mata yang sangat berat untuk dibuka. Terasa badanku dipeluk erat. Aku menoleh muka ku ke belakang untuk mencari kepastian Alangkah terkejutnya aku ketika itu lalu apalagi menjeritlah aku. Aku menjerit sebab lelaki yang menikahi aku semalam tidur di sebelahku. Masa bila pula dia tidur di samping aku dan aku dipeluk oleh si dia?! Nasir terkejut lalu terbangun.
“Kenapa?! Ada lipan ke?” soal Nasir kepada aku sambil mengibas-kibas selimutnya. “tak lah..kenapa awak tidur dengan saya?” soal aku kepadanya. Nasir hanya senyum dan kembali berbaring. Tindakannya membuat aku berasa tidak keruan. Apa yang telah dia lakukan pada aku malam tadi? Pelbagai soalan yang timbul. “Awak ni lucu lah Habsah..ada ke patut awak tanya saya begitu? Saya kan suami awak. Ikut suka hati sayalah.” Katanya dengan tenang sambil tergelak-gelak kecil. Aku mencubit lengannya. Geram dengan tindakannya itu. Dia mengaduh sakit. “Aduh! Awak sakitlah saya..awak lupa ke? Semalam awak yang datang kat saya dan tidur sebelah saya. Awak datang dan terus peluk saya. Saya pun peluk jerlah awak.” Ya Allah, malunya aku. Hal ini membuatkan muka aku menjadi merah umpama udang kena pagang.
Setelah dua tahun hasil pernikahan aku dan Nasir, kami diberikan peluang untuk menerima cahaya mata dari-Nya. Syukur, Alhamdulilah kepada Allah yang telah memberi aku peluang untuk menjadi seorang ibu. Sewaktu mengetahui aku hamil, Nasirlah orang yang paling bahagia. Aku dilayan umpama puteri raja. Aku berasa bahagia sekali. Dijangkakan pada bulan Oktober, zuriatku ini akan lahir. Setiap hari, suamiku akan mencium perutku dan bercakap-cakap dengan anak di dalam kandunganku. Pada suatu hari, aku sangat mengidam untuk makan ikan pari Helang.
Pada malam itu, suamiku sudah bersiap-siap untuk pergi menangkap si ikan pari yang aku idamkan. Namun hatiku berasa tidak sedap sekali bagai ada sesuatu musibah yang bakal menimpa. Aku cuba menghalangnya, namun apalah kudrat yang aku ada untuk menahan kehendak suamiku yang sedang membuak-buak bagi memenuhi kehendakku itu. Setelah menyiapkan bekalannya. Aku cuba menghalangnya lagi dan menyuruhnya pergi pada esok pagi sahaja. Namun permintaan aku ditolaknya mentah-mentah. Katanya, pada waktu beginilah ikan pari akan naik. Hal ini membuatkan aku berasa serba salah.
“Sayang, kenapa ni? Kan abang pergi untuk sayang dan anak kita.” Nasir mengelap air mata yang jatuh dipipiku sambil mengusap perut bulatku . “Sayang, doakanlah abang selamat. Insyallah tidak akan berlaku apa-apa. Tapi kalau ditakdirkan usia abang tidak panjang, sayang tolong jaga anak kita. Besarkan dia dengan didikan agama dan kalau anak kita lelaki sayang namakan dia Syahrezal.” Aku tidak tahan lagi apabila Nasir berkata sedemikian. Jariku menindih bibirnya. Tujuanku untuk tidak mengizinkan dia meneruskan lagi bicaranya. Badannya ku peluk erat. Seerat-eratnya seperti tidak mahu ku lepaskan. Dahiku dicium lembut oleh Nasir. Pelukan ku dilepaskan perlahan-lahan. “Sabarlah sayang, abang pasti akan pulang bersama ikan pari yang sayang idamkan.” Dia berlalu pergi dan semakin jauh meninggalkan aku. Kalimah terakhir itulah yang aku dengar darinya.
Lamunanku terhenti tatkala pintu bilikku diketuk. “Siapa?” soalku. Namun tiada sebarang jawapan. Aku menoleh ke arah pintu dan terlihatlah satu susuk tubuh yang sangat aku kenali. “Oh..Nurul, masuklah. Jangan berdiri cegat di situ.” Aku mempelawa anak perempuanku masuk. Satu-satunya harta yang masih berbaki buat diriku. “Apa yang difikirkan ni mak? Nurul tengok mak menyisir rambut lagi tadi tetapi tidak juga siapnya. Emak ada masalahkah?” soalnya pada aku. Aku hanya menguntumkan sebaris senyuman. Patutkah aku memberitahu kepadanya? Percayakah dia? Biarlah rahsia ini terbuku di sini sahaja. Aku tidak tahu cara untuk menyakinkannya. Aku takut. Takut dengan kenyataannya nanti. Cukuplah sekadar yang dikendong bertaburan janganlah pula yang dikejar tidak dapat. Aku tidak mahu peristiwa hitam kembali lagi menerjah hidupku. Aku akan sentiasa menjadi seorang yang kuat dalam mengharungi kepahitan hidup ini tanpa dua insan yang sangat aku rindui. Dimanakah kau wahai Rezal? Aku sentiasa mencarimu. Petang itu sungguh sunyi aku rasakan walaupun Nurul ada menemani aku.
Pada waktu malam hari, aku menghabiskan masa dengan menonton televisyen. Cerita yang dipaparkan cukup sekadar menghiburkan hati aku yang sedang bercelaru. Nurul yang duduk disebelah tidak aku layan. Suasana menjadi sunyi sepi. Hanya suara di televisyen sahaja yang kuat melaung-laung. Tiba-tiba bahu aku disapa oleh sesuatu. Tangan Nurul memegang hujung bahu aku. Aku menoleh ke arah mukanya yang cantik dan manis berlesung pipit. “Emak kenapa ni?Nurul tengok mak senyap sahaja. Mak ada masalahkah?” soalan yang sama seperti soalan petang tadi yang diajukan kepada aku. Aku hanya menggelengkan kepala. Tidak tahu hendak memberitahunya bagaimana caranya. Perlukah aku ceritakan semuanya pada dia? Aku berasa bersalah kerana membuatkan dia berasa terasing dengan dunia aku selama ini.
“Emak, esok Nurul akan kembali ke Kuala Lumpur. Cuti Nurul dah habis. Nanti kesian pula pekerja-pekerja dekat syarikat itu. Mak tak mahu ikut Nurul ke sana?” pelawa Nurul kepada aku. Bukan aku tidak mahu tetapi keadaan di sana membuatkan aku berasa tidak selesa. Rumahnya sudahlah meninggi ke langit, bising dengan bunyi kenderaan dan tiada halaman untuk bercucuk tanam. Lagipun aku tidak pandai naik kotak bergerak tu. Menggigil kepala lutut aku ni kalau naik benda tu. Aku lebih rela menggunakan tangga. “Tak apalah Nurul, mak tak biasa duduk di sana. Mak takut. Nanti bila cuti lagi kau baliklah ke mari.” Aku menolak pelawaan Nurul. “Mak, saya sebenarnya risaukan mak. Mak duduk kat sini sorang-sorang. Arwah ayah pun dah tak ada. Kalau ada sakit pening siapa nak tanggung.” Nurul sudah mulakan bebelannya.
Aku sememangnya mencari seribu alasan untuk tidak pergi ke bandar pesat itu. Suasananya menyebabkan aku tidak berasa selesa. Aku perlukan ketenangan. Aku lebih rela hidup bertemankan tiupan angin dan berbual bersama pokok bunga dan  memberi makanan kepada ayam serama. Aku sengaja tidak mahu pergi kerana tidak mahu terlepas walau sesaat pun kenangan yang aku lakarkan di sini. Kenangan bersama suamiku kesayanganku. Nasir. Nurul terpaksa akur dengan keputusan yang aku putuskan. Aku sekeras-kerasnya tidak mahu tinggal di ibu kota lampu neon itu. Aku menarik nafas lega apabila Nurul beralah. Namun aku sedar, Nurul pasti akan mengajak aku ke rumahnya lagi. Aku yakin kerana sifat keras hatinya itu adalah hasil dari genetik aku.
“Tak mengapalah kalau mak tak mahu Nurul bawa mak duduk sama dengan Nurul. Tapi saya harap mak dapatlah fikirkan kebaikkannya. Nurul tak mahu mak duduk keseorangan dan asyik termenung akan arwah abah. Mak, arwah dah lama tinggalkan kita mak. Usahlah mak kenangkan lagi.” Ujar anak gadis itu. Sesungguhnya bukan itu yang aku kenangan tapi aku teringatkan amanat dari Nasir. Amanat yang aku telah lepaskan. Aku tidak bertanggungjawab. Lemah dalam membuat keputusan. Kini, aku hanya berpegang kuat pada imanku sebagai seorang umat Islam yang begang teguh kepada agamanya. Aku tertarik dengan kata-kata dari hadis ini:
Dari Abu Hurairah r.a. Katanya. Rasulullah bersabda:
"Orang mukmin paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya." (hadis riwayat bukhari dan Muslim).
           
Dahulu aku telah kehilangan abang Nasir yang telah pergi selamanya setelah dia meninggal dunia akibat disengat duri ikan pari. Rezal pula entah hilang kemana dibawa oleh kak Mas. Kini Fakhrul pula meninggalkan aku. Semua insan yang aku sayangi telah pergi meninggalkan aku. Kini aku hanya ada Nurul. Nurul anak perempuanku hasil pernikahan aku dengan Fakhrul. Wajahnya banyak mengikut arwah papanya. Putih gebu bersih tanpa sebarang jerawat. Bibirnya yang seksi dan rambutnya yang lebat sama seperti arwah papanya. Cuma matanye sahaja yang mengikut mata aku. Mata sepet yang bila senyum tidak akan nampak biji mata. Itulah satu-satunya harta yang aku ada. Kini aku ingin mencari kembali harta pertama aku yang telah lama menghilang.




Bab 3
           
            Kesibukkan dalam mengejar cita-cita membuatkan Rezal hampir lupa untuk bercinta. Apabila ditanyakan oleh ibunya sudah pasti jawapannya ialah kalau ada jodoh adalah ibu. Bukan tidak pernah ibunya mencari calon untuknya tapi dia yang berkeras tidak mahu menempuh alam percintaan bahkan alam pernikahan. Katanya utamakan kerjaya dulu barulah boleh fikir pasal awek. Sewaktu dia belajar di luar negara dulu ada seorang minah saleh minat kepadanya. Namun ditolaknya mentah-mentah. Katanya dia hanya berminat dengan orang Melayu sahaja. Kasihan melihat minah saleh yang ditolak cintanya itu. Apabila pulang ke tanah air ingatkan perangainya sudah berubah namun masih tetap sama. Hari demi hari aktivitinya sama sahaja. Pagi pergi kerja petang balik kerja. Duduk depan televisyen tengok cerita yang dah berapa kali tengok. Tak jemu-jemu. Hujung minggu barulah keluar dengan kawan-kawannya. Itupun semuanya lelaki.
            Kelakuannya ini membuatkan ada yang mengatakan dia ni merupakan seorang gay atau kata mudahnya hanya melayan lelaki sahaja. Namun dia bukanlah seperti yang disangkakan. Di dari kecil sudah biasa terperap dalam bilik dengan membaca buku dan hanya keluar bermain apabila ibunya suruh keluar bermain bersama teman-teman yang lain. Kini Rezal sudah dewasa belia remaja. Usianya kini sudah menjangkau 28 tahun. Dia pun mula fikirkan pasal jodoh hidupnya. Baru sekaranglah dia sibuk menyuruh ibunya mencarikan calon isteri yang terbaik buatnya. Sememangnya Rezal ini bukanlah kaki memilih sangat tapi dia lebih utamakan kelembutan seseorang perempuan itu semulajadi dari dalam. Paling utama pandai masak dan menjaga hati orang tuanya.
            Pada suatu hari di dalam shopping mall sewaktu menemani ibunya membeli-belah berlaku suatu excident yang tidak disangka-sangkakan. Sememangnya jika puan Mashita sedang membeli barang Rezal akan mengekori ibunya dari belakang. Pada hari itu, Rezal tidak menemankan dan membiarkan ibunya sendiri membeli barang keperluan di dalam JUSCO. Dia pula memakan ais krim di ruang berehat di luar JUSCO. Tiba-tiba puan Mashita menelefonnya dan meminta Rezal untuk membantu puan Mashita menyorong troli yang telah berisi barang. “Zal kat mane? Masuk dalam kejap. Tolong ibu sorongkan troli ni. Tangan ibu sakitlah, Zal. Boleh yer, Zal.” Suara puan Mashita dihujung talian. “Ok lepas makan aiskrim ni, Zal datang. Troli ibu letak kat mane?” soal Rezal ingin kepastian. “Ibu letakkan di bahagian pakaian wanita. Zal datang sahajalah, ibu ada disitu.” Arah puan Mashita.
            “Eh, mana pulak troli aku ni? Dah siap letak barang pun kena kebas juga ke? Haish!payah betul rakyat Malaysia sekarang ni. Gawat!” rungut Nurul. Kepalanya digaru-garu walaupun tidak gatal. “Macam mana pulak boleh hilang ni? Aku pergi pilih kejap jer kot..tak kan ada orang nak ambil pulak barang-barang aku. Pelik bin ajaib ni.” Nurul mula mencari-cari troli yang berisi barang-barangnya. Hatinya bercampur geram untuk mengetahui siapa manusia yang mencuri trolinya itu.
            “Hai Zal, banyak kamu beli barang? Untuk siapa?” soal puan Mashita kepada Rezal. “Hish! Ibu ni, bukan tadi ibu kata suruh Zal sorongkan troli ni ke? Tak akn Zal nak pakai semua baju perempuan ni.” Jawab Rezal. “Tak adalah, troli ibu di sana. Ini troli siapa yang Zal bawa ni?” puan Mashita tertanya-tanya. “Ya ke ibu? Habis ni barang siapa?” Rezal mula rasa cemas. Didapatinya dalam troli itu terdapat pakaian dalam wanita. Hatinya kuat mengatakan troli ini kepunyaan wanita tapi siapa pemiliknya? “Ibu macam mana ni?” soal Rezal cemas. “Zal pergilah pulangkan balik di tempat asalnya. Mesti tuannya sedang menunggu.” Rezal terus meninggalkan ibunya dan menyelusuri jalan yang telah dilaluinya sebentar tadi.
            “Hoi, pencuri! Barang dalam troli ni pun kau nak ambil ke?” Satu suara lantang dari arah kanan Rezal memekik di telinganya. Rezal tersentap tatkala melihat seorang wanita sedang marah. Mukanya merah padam, lagaknya seperti harimau mahu menerkam mangsanya. Rezal hanya mendiamkan dirinya. “Oh sudah mencuri tidak mahu mengaku ya. Awak tahu tak penat saya memilih semua barang ni dan awak sedap-sedap sahaja bawa lari ya. Apa awak tak pandai pilih sendiri ke?” bebel Nurul kepada Rezal. “Maaf cik.. nama saya Rezal. Saya tidak berniat untuk mengambil barang cik yang tidak seberapa harganya ni. Lagipun saya tak pakai pakaian macam ni.” Rezal cuba berlalu namun Nurul masih meluahkan rasa tidak puas hatinya. Hal ini membuatkan Rezal panas telinga. Dia mendekati Nurul dan lagak seperti mahu mengapa-apakan Nurul. Nurul terdiam apabila Rezal meletakkan jari telunjuknya di mulut Nurul. Tindakan itu membuatkan Nurul terkejut. “Opss!maafkan saya sekali lagi. Saya tidak berminat untuk mendengar bebelan cik. Saya sudah pulangkan bukan. Apalagi yang cik mahukan?” soal Rezal. Nurul hanya terdiam.
            “Maafkan anak mak cik ya..dia tersalah ambil troli. Dia ingatkan troli cik itu saya yang punya.” Jelas puan Mashita. Barulah kini Nurul faham bahawa lelaki itu tidak sengaja mengambil trolinya. Sebelum puan Mashita dan Rezal berlalu, Rezal sempat bertindak nakal dengan mengusik Nurul. “Cantik sungguh warna pink yang awak pegang tu kan. Ini kad saya. Kalau ada apa-apa yang hilang boleh call saya.” Muka Nurul terus berubah menjadi kemerah-merahan apabila Rezal menegur benda yang dipegang ditangannya.
            Sejak hari itu, Rezal sudah dilanda anggau. Hidupnya sudah tidak keruan. Hari demi hari dia menanti panggilan dari Nurul. Namun dia masih belum tahu nama perempuan itu. Dia juga pernah menyuruh kawan-kawannya menyiasat latar belakang keluarga Nurul. Akhirnya segala maklumat peribadi tentang tempat kerja dan tempat tinggal Nurul diketahuinya. Setiap pergerakkan Nurul diperhatikan. Dia sudah menjadi peminat misteri Nurul. Hal ini sudah diberitahu kepada ibunya. “Apa yang kau tunggukan lagi? Pergi sahajalah meluahkan perasaan kau padanya.” Puan Mashita menyuruh anaknya itu bersikap berani. “Tapi ibu kalau dia tolak cinta saya bagaimana?” jawab Rezal. “kalau tak cuba kita tak tahu. Mana tahu budak tu pun suka kat kau. Pergi sahajalah mencuba nasib. Hah! Atau kau nak mak jodohkan kau dengan anak kawan ayah kamu itu. Si Norliana itu!” gertak puan Mashita.










Bab 4
“Syahrezal bin Ahmad Nasir?” aku terkejut mendengar nama itu. “Ya, mak. Namanya Syahrezal bin Ahmad Nasir. Nurul memberitahu ada seorang pemuda yang ingin melamarnya sebagai seorang isteri. Lelaki itu akan datang berjumpa dengannya pada hari hujung minggu ini bersama keluarganya untuk merisik. Apabila mendengar nama yang terlafaz dari mulut Nurul, hati aku menjadi tidak keruan. Perasaan gembira bercampur baur dengan perasaan takut. Adakah benar lelaki yang dimaksudkan oleh Nurul itu adalah anak aku yang sudah sekian lama menghilang? Apa harus aku lakukan.
“Mak nanti dia akan datang bersama ibu dah papanya. Dia datang untuk merisik.” Ulang Nurul lagi setelah tiada sebarang respons dariku. “Mak, mak dengarkah?” soal Nurul. “Dengar nak..bawalah dia datang ke rumah kita. Mak akan masak sedap-sedap nanti.” Aku cuba menidakkan apa yang terbuku dalam hatiku ini. Biarlah benda ni sekadar ilusiku sahaja. Mustahil budak lelaki itu anak aku. Sudah hampir 25 tahun dia pergi meninggalkan aku. Aku hanya terlalu merinduinya. Walaupun sudah lama aku tidak berjumpa dengan Syahrezal namun masih terasa tubuh kecilnya yang ku gendong sewaktu dulu.
Aku menghiasi rumahku dengan langsir baru dan tikar baru. Biar selesa tetamu yang datang. Sarung kusyen ku gantikan dengan sarung yang baru. Aku melakukannya seorang diri kerana aku terlalu gembira untuk mendapat menantu. Hati aku sangat gembira. Alangkah bagusnya kalau ketika itu abang Fakhrul ada bersama. Menyaksikan hari yang paling bahagia untuk anaknya. Abang saya telah membesarkan Nurul dengan didikan agama seperti yang abang pinta. Kini dia sudah besar panjang dan bakal bergelar sebagai seorang isteri orang.
Sudah tentu aku akan sediakan makanan yang lazat. Ketika aku sibuk menyiapkan juadah di dapur, Nurul menelefonku yang dia dalam perjalanan pulang bersama bakal suaminya itu. Hati aku berasa tidak sabar. “Hati-hati ya  dijalanan.” Itu sahaja perkataan yang bisa terzahir dari bibirku. Bagaimanalah raut wajah budak lelaki itu kan..mesti kacak orangnya. Kacak sehingga boleh memikat hati Nurul yang susah sangat nak mencari pasangan yang sesuai. Aku amat mengenali anak perempuan aku yang sorang ni.
Bunyi kenderaan telah sampai di halaman. Pintu yang terbuka luas itu mengundang mereka untuk naik ke atas. “Jemputlah naik ke rumah kami yang buruk ni. Rumah yang hanya beratap rumbia.” Susun atur bicaraku. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat raut wajah yang seiras kak Mas. Orang yang aku berikan anak aku yang masih berusia 10 bulan. Aku terpana seperti tidak percaya. Mahu sahaja aku menerkam perempuan itu dan bertanyakan kebenarannya. Namun aku cuba bersabar.
“Marilah jemput naik ke atas.” Pelawaku kepada mereka. Hatiku semakin bergelonjak ingin bertanya. Aku menyuruh Nurul menghidangkan juadah yang telah aku sediakan. Semasa Nurul di dapur, aku pun gatal mulut bertanya nama ibu Si Rezal itu. Budak Rezal itu aku lihat sangat bersopan orangnya. “Maafkan saya ya kak, siapa nama akak?” soal aku. “Oh ya tak ya juga..kita khusyuk borak nama pun tak tahu kan. Nama saya Mashita Musa. Saya pun dahulu orang kampung ni tapi dah lama menetap di bandar. Kemudian saya pndah ke luar negara.” Tersentap jantungku. Betulkah ini semua? “Siapa nama emak akak?” aku semakin ingin tahu. “Zubaidah. Dulu dia tinggal kat hujung kampung tu.”
“Ya Allah, akak tak kenal saya ke? Saya Habsah isteri kepada arwah abang Nasir. Mana anak saya akak?” emosi aku sudah tidak stabil. Aku sudah tidak pedulikan keadaan sekeliling. Aku teringin sekali untuk berjumpa dengan Syahrezal. Anak yang aku hanya sempat memberi susu selama 10 tahun. Adakah budak lelaki itu anak aku? Ya Allah kau maha suci Ya Allah.
“Habsah! Ya Allah. Nurul ni anak kau ke? Inilah anak kau Syahrezal yang kau berikan pada akak dahulu. Rezal ini mak kau yang sebenarnya Rezal.” Kak Mas pun tidak keruan. Aku dipeluknya erat. “Sudah lama kami mencari kau, Habsah! Seluruh tempat kami mencari kau tapi tak jumpa-jumpa.” Inilah kebesaran kuasa tuhan yang maha besar dan maha berkuasa. Aku redha dengan cara pertemuan aku dengan anak yang aku cari selama ini.
Walaupun aku terpaksa membatalkan pernikahan mereka namun hatiku tetap berasa bersyukur kerana dapat menyelamatkan keturunan aku. Nurul sememangnya tidak boleh berkahwin dengan Syahrezal kerana Nurul adalah anak perempuanku dan Syahrezal pula adalah anak lelakiku. Mereka berlainan ayah tapi lahir dari rahim yang sama iaitu dari rahimku.
Kini aku hidup bahagia bersama kedua-dua anakku dari kedua-dua suamiku. Abang Nasir dan abang Fakhrul, Habsah telah dipertemukan semula dengan zuriat Habsah. Habsah bersyukur pada ilahi kerana memberi peluang kepada Habsah untuk menebus kembali kesilapan Habsah kerana tidak dapat membesarkan Syahrezal sepenuhnya.
Insyallah Habsah akan menjaga anak-anak kita hingga ke hujung nyawa Habsah. Kini mereka telah mempunyai keluarga masing-masing. Mereka akan datang menziarah Habsah apabila mereka ada waktu lapang. Kita sekarang sudah ada cucu. Anak-anak kita telah berjaya dalam hidup mereka. Merekalah pelapis negara. Nurul telah memajukan syarikat abang Fakhrul ke peringkat antarabangsa hasil gandingan abangnya; Syahrezal anak abang Nasir.
Kini tibalah giliran saya berehat setelah mengharungi pelbagai dugaan dari tuhan. Tiada tertanggung lagi jasad ini. Saya akan mengikuti jejak pemergian abang berdua. Cinta pertama dan kasih pertama saya di dunia dan di akhirat. Kamu berdua adalah insan yang paling berjasa dalam hidup Habsah. Habsah akan pergi meninggalkan mereka. Giliran Habsah untuk berehat sudah tiba. Maafkan Habsah jika selama ini gagal menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan pada Habsah.
Cinta Habsah cinta suci untuk kalian berdua. Sebelum Habsah meninggalkan mereka untuk selamanya, Habsah ada tinggalkan serangkap puisi yang Habsah ambil dari puisi Muhammad Haji Salleh;

Sehelai daun tua
Sehelai daun tua
Dikeringkan zat hidupnya
Melayang ke kulit tanah
Dan tersandar pada perdunya

Pada saat akhirnya
Sehelai daun menggalur tapak
Dari pucuk pucat
Yang menggelepar dengan tari hujan
Menakung matahari dalam lengkung
Buat hari ini dan esok

Semusim tugas menganugerah tujuan
Tapi hidup itu bundar
Yang tiba di hujung sayung
Jatuh kembali pada tanah lahir
Pucuk pun meniup nafas kuning
Dan membesar dalam teduh pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan